Dalam ucapan Bahasa Melayunya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memuji ketabahan dan semangat kerjasama masyarakat Melayu/Islam dalam usaha mengharungi COVID-19. Pencapaian masyarakat kita dalam pelbagai bidang juga diiktiraf. PM turut menyentuh tentang peri pentingnya mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura.
PM menyanjung kecekalan masyarakat Melayu/Islam dalam membuat penyesuaian sepanjang pandemik ini. Beliau juga melahirkan penghargaan kepada para pemimpin masyarakat, asatizah serta masjid-masjid di bawah bimbingan Mufti atas kepimpinan dan usaha penting mereka untuk terus menggalakkan orang Melayu/Islam mendapatkan vaksin.
PM juga menyentuh tentang Laporan Banci Penduduk 2020 baru-baru ini. Walaupun masyarakat Melayu mencatatkan kemajuan yang ketara sepanjang sedekad lalu, kita harus beri perhatian kepada dua trend yang membimbangkan mengenai pemilikan rumah dan pendidikan. Kadar orang Melayu yang tinggal di flat sewa semakin meningkat. Kita mesti tingkatkan kesedaran bahawa flat sewa hanyalah huraian sementara. Kita harus galakkan keluarga-keluarga di flat sewa memantapkan pendapatan dan memiliki rumah sendiri. PM Lee juga menekankan bahawa pendidikan adalah kunci untuk membina sebuah masyarakat yang inklusif. Lebih banyak bantuan harus disalurkan kepada pelajar yang ketinggalan.
Keharmonian kaum dan agama yang kita nikmati di Singapura terbit daripada sikap bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain. Namun, keseimbangan ini sangat rapuh. Dalam membuat perubahan sejajar dengan nilai-nilai dan aspirasi masyarakat yang berubah-ubah, Pemerintah wajib memastikan bahawa sebarang perubahan tidak meluaskan jurang antara kaum di sini. Inilah pertimbangan yang telah dibuat mengenai soal pemakaian tudung. PM menjelaskan dan membuat pengumuman rasmi mengenai isu ini di sini: https://go.gov.sg/p8jh5i
Dalam menggulung ucapannya, PM menekankan sekali lagi bahawa untuk maju ke hadapan sebagai sebuah masyarakat yang inklusif, kita perlu memiliki kematangan antara kaum apabila perlu melaksanakan penyesuaian. Beliau juga menyeru agar kita terus menghidupkan semangat bersatu padu dan saling membantu agar tiada siapa pun ketinggalan. Dengan ini Singapura akan terus teguh, makmur dan bersinar pada masa hadapan.
#ndrsg